KEMAHIRAN GENERIK
Kemahiran generik adalah penting kerana pekerjaan pada hari ini memerlukan
pekerja yang fleksibel, inisiatif dan berkebolehan untuk menyelesaikan tugas yang
berbeza. Pekerja bukan lagi hanya melakukan kerja yang tertentu sahaja seperti dahulu
tetapi mereka secara umumnya lebih kepada berorientasikan perkhidmatan,
bermaklumat dan mempunyai kemahiran sosial yang menjadi semakin penting.
Majikan sekarang pula memberikan fokus kepada perubahan, pengurangan kos,
peningkatan produktiviti, pasaran baru, produk dan perkhidmatan (Australian Chamber
of Commerce and Industry Council, 2002).
Kearns (2001), mendefinisikan kemahiran generik sebagai kemahirankemahiran
yang boleh digunakan merentasi sebilangan besar pekerjaan yang pelbagai.
Ianya bukan sekadar merangkumi asas ketrampilan atau kemahiran asas malahan juga
merangkumi kemahiran kognitif, personal dan interpersonal yang relevan dengan
sesuatu pekerjaan. Kemahiran generik adalah kemahiran-kemahiran asas yang
diperlukan untuk mendapatkan, mengekalkan dan melakukan kerja dengan baik
(Robinson, 2000). Manakala dalam penulisan Yahya (2002), yang menggunakan istilah
kemahiran employabiliti adalah merujuk kepada kemahiran atau kualiti individu yang
diperlukan oleh para majikan industri terhadap pekerja baru apabila mereka mula
bekerja di sektor industri tersebut.
Pelbagai istilah telah digunakan di beberapa negara untuk menjelaskan maksud
berkaitan dengan kemahiran generik. Kebanyakan istilah tersebut memberi tumpuan ke
atas topik yang berkaitan untuk memberikan gambaran terhadap kemahiran personal,
sikap, tabiat dan tingkahlaku, cara berkomunikasi, penyelesaian masalah dan kemahiran
membuat keputusan serta proses mengurus organisasi.